Komet Shoemaker-Levy 9

Shoemaker-Levy 9 (gelaran formal: D/1993 F2) ialah sebuah komet yang hancur berkecai dan berlanggar dengan Musytari pada Julai 1994. Kejadian ini merupakan pelanggaran dua objek sistem suria yang pertama yang berjaya dirakamkan. Ini memberi komet itu liputan yang luas di kalangan media dan komet ini dipantau dengan sangat teliti oleh ahli astronomi.Komet ini telah ditemui oleh Carolyn dan Eugene Shoemaker dan David Levy pada malam 24 Mac 1993 menggunakan teleskop Schmidt 0.4 meter di Balai Cerap Palomar di California, Amerika Syarikat. Ia merupakan komet berkala pendek (komet yang tempoh orbitnya 200 tahun atau kurang) kesembilan yang mereka temui. Komet Shoemaker-Levy 9 merupakan komet pertama yang ditemui mengorbit sebuah planet, dan mungkin telah ditangkap oleh tarikan graviti Musytari 20-30 tahun sebelumnya.Perkiraan menunjukkan bahawa bentuk berkecai komet Shoemaker-Levy 9 yang luar biasa berpunca daripada pendekatan komet ini dengan Musytari sebelumnya yang lebih dekat pada Julai 1992. Pada masa itu, orbit Shoemaker-Levy 9 melalui lingkungan had Roche Musytari, dan daya pasang surut planet itu telah mengoyakkan komet itu menjadi serpihan. Komet itu berjaya diperhatikan sekali lagi dalam bentuk serpihan sebesar 2 km diameter. Serpihan-serpihan ini akhirnya berlanggar dengan hemisfera selatan Musytari di antara 16 - 22 Julai 1994, dengan kelajuan 60 km/s atau 21,600 km/j. Parut yang dihasilkan oleh pelanggaran komet itu adalah lebih jelas daripada Tompok Merah Besar dan boleh dilihat selama beberapa bulan.